Monday, 21 June 2010

dipetik dari buku Nasbun Nuraini.

Zakat Simpanan
Zakat simpanan diwajibkan ke atas simpanan yang melebihi keperluan diri dan keluarga. Kadar zakat simpanan ialah 2.5% daripada harta yang cukup nisabnya (mengikut kadar emas semasa) dan cukup haulnya (dalam simpanan selama setahun).
Dalam mazhab Syafie, simpanan seperti KWSP diwajibkan zakat kerana ia adalah milik kita. Namun dalam mazhab Hanafi, simpanan KWSP tidak diwajibkan zakat kerana ia bukanlah milik sempurna dan tidak boleh digunakan oleh tuannya. Zakat simpanan Tabung Haji pula tidak perlu dikeluarkan zakat kerana pihak Lembaga Tabung Haji sudah mengeluarkan zakat bagi pihak penyimpan.

Penerima Zakat
Zakat hendaklah diberi kepada golongan yang disebut 8 asnaf seperti fakir,miskin, muallaf, dan lain-lain.

Taubah [60] Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin dan amil-amil yang mengurusnya dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Dalam mazhab Syafie, zakat mesti diberi kepada setiap satu dari 3 golongan iaitu fakir, miskin, muallaf. Dalam mazhab Hanafi pula tidak semestinya dan boleh diberi kepada salah satu dari 3 golongan. Dalam mazhab Syafie zakat hanya boleh diberi kepada mereka yang tidak meninggalkan sembahyang, manakala mazhab Hanafi pula tidak kisah samada penerima zakat sembahyang atau tidak.

Zakat seorang isteri yang berada (kaya) boleh diberi kepada suaminya yang miskin.
“Dari Abu Sa’id al Khudri : … Zainab, isteri Ibnu Mas’ud datang meminta izin untuk bertemu. Ada yang memberitahu: “Wahai Rasulullah, ini adalah Zainab,” beliau bertanya,”Zainab yang mana?” Maka ada yang menjawab: “(Zainab) isteri Ibnu Mas’ud,” beliau menjawab,”Baiklah. Izinkanlah dirinya,” maka ia (Zainab) berkata: “Wahai, Nabi Allah. Hari ini engkau memerintahkan untuk bersedekah. Sedangkan aku mempunyai perhiasan dan ingin bersedekah. Namun Ibnu Mas’ud mengatakan bahwa dirinya dan anaknya lebih berhak menerima sedekahku,” Nabi bersabda,”Ibnu Mas’ud berkata benar. Suami dan anakmu lebih berhak menerima sedekahmu.”

Dalam mazhab Syafie, seorang suami yang kaya tidak boleh mengeluarkan zakat kepada isterinya kerana dia adalah tanggungannya. Manakala mazhab Hanafi pula membenarkan seorang suami yang kaya mengeluarkan zakat kepada isterinya, namun adalah makruh jika diberi kesemuanya dan hendaklah memberi sebahagian sahaja.

Zakat Tanaman
Tentang zakat tanaman pula, mazhab Syafie hanya mewajibkan zakat ke atas tanaman yang mengenyangkan seperti beras, gandum. Manakala mazhab Hanafi turut mewajibkan zakat ke atas buah-buahan misalnya setiap sepuluh biji buah durian dikenakan 1 biji zakat.
Al-Anam [141] Dan Dialah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar dan pohon-pohon tamar (kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya dan buah zaiton dan delima, yang bersamaan (warnanya atau daunnya) dan tidak bersamaan (rasanya). Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan); sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau.

Zakat Perniagaan
Zakat perniagaan pula ialah dikira dengan menjumlahkan semua barangan yang terdapat di dalam kedai. Dalam mazhab Syafie, barang yang masih belum dibayar atau dibeli secara berhutang juga dikenakan zakat perniagaan. Manakala mazhab Hanafi tidak mengenakan zakat ke atas barang yang dibeli secara hutang, ia ditolak daripada jumlah barang dagangan.

Dalam bab hutang yang diberikan pula, mazhab Syafie mengenakan zakat ke atas hutang yang diberi oleh syarikat kerana ia adalah milik syarikat. Manakala mazhab Hanafi pula tidak mengenakan zakat ke atas hutang yang diberi kerana ia bukan milik sempurna dan tidak boleh digunakan.
Difailkan dalam: Zakat

0 comments: