Friday, 21 October 2011

Mencari Redha Allah

بِسۡمِ اللهِ الرَّحۡمٰنِ الرَّحِيۡمِ

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Semoga Allah SWT memberikan taufik dan hidayahNya buat kita semua di bumi yang diciptaNya dengan indah dan penuh dengan warna-warni. Segala puja-puji itu hanya buatNya Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Penyantun. Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, Allahuakbar.

Sudah lama tidak mencoretkan di dalam blog ini. Agaknya kalau dilihat dari luar alam maya, sudah bersawang tidak berpenghuni. Harapnya selepas ini ramailah lagi yang sudi menyumbang. Warga Helwa makin bertambah alhamdulillah. Selamat datang diucapkan. Ahlan wa sahlan.

Sekadar ingin mengingatkan diri sendiri dan adik-adik, sahabat-sahabat sekalian akan ayat ini,

إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ (٥) ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٲطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ (٦)
صِرَٲطَ ٱلَّذِينَ أَنۡعَمۡتَ عَلَيۡهِمۡ غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ وَلَا ٱلضَّآلِّينَ (٧)

Yang terjemahannya membawa maksud kurang lebih:

Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (5) Tunjukilah kami jalan yang lurus. (6) Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. (7)

Jika diperhitungkan dengan jumlah solat fardhu, pastinya setiap dari kita membaca 17 kali diulang-ulang setiap hari. Belum lagi ditambah dengan amalan solat sunat dan amalan sunat yang lain yang kita akan ulang-ulangkan ayat-ayat di atas. Jika diteliti, ianya doa yang kita panjatkan buat Sang Pencipta Al-Karim, Al-Azeez. Adakah Allah Yang Maha Mengabulkan doa, Maha Penyayang tidak mengabulkan doa yang diulang-ulang ini.

Cermin dan pandanglah diri, sejauh mana kita membenarkan doa itu, benar-benar memohon kepadaNya apa yang kita minta setiap hari 17 kali diulang-ulang ditambah dengan ulangan dengan amalan sunat yang lain. Benarkah kita berbicara dengan Si Dia Yang Maha Mendengar Maha Mengetahui, atau sekadar bicara lebah ketika mencari manisan atau sekadar bicara lalat tatkala menghurung sisa buangan, Mohon Allah SWT lindungi kita atas kealpaan ini.

Marilah adik-adik, sahabat sekalian, kembalilah kepada matlamat asal penciptaan manusia, mengabdikan diri pada Yang Maha Esa. Ayuh, jangan terlewat dan janganlah kita termasuk dalam golongan orang menyesal. Marilah kita sama-sama mengejar syurga yang penuh kenikmatan dan sama-samalah kita memohon dari Allah SWT agar dilindungi dari neraka.

Pencarian syurga bukan mudah, kerja keras perlu dilaksanakan. Mencari neraka amat mudah. Pilihan ditangan kita. Bermunajatlah pada Allah SWT sepertiga malam yang terakhir, agar kita terpelihara dari azab neraka, dan menuju syurga yang kekal abadi.

Sekian untuk kali ini, insyaAllah akan bersambung lagi di lain kali. Rajin-rajinlah melayari blog ini dan semoga bermanfaat. Semoga hari Jumaat ini memberikan kebahagian dan peningkatan iman buat semua.

salam sayang,

0 comments: