Tuesday, 17 January 2012

Marilah bermunajat wahai adik-adikku

بِسۡمِ اللهِ الرَّحۡمٰنِ الرَّحِيۡمِ

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Segala puja-puji itu hanyalah Milik Allah Azzawajalla yang mutlak,
Selawat dan salam buat junjungan Nabi Khalilullah SAW,

Sudah agak lama menyepi diri, astaghfirullahal 3azim... dilalaikan dengan banyak perkara keduniaan. Alhamdulillah masih diberi ruang untuk mengisi masa adik-adik sekalian dengan sedikit ruang bacaan ini. Hari ini, ini berkongsi zikir munajat dan doa yang boleh digunakan untuk kegunaan seharian kita, ianya agak mudah untuk kegunaan tika bangun sepertiga akhir malam. Wahai adik-adikku sayang, marilah kita jadi golongan kecil yang akan bersusah payah, menggagahkan dan menguatkan diri dengan kekuatan yang diberikan Allah Azzawajalla.

Kita sanggup bangun malam untuk mentelaah ilmu yang juga datangnya dari Yang Maha Berilmu, kita sanggup bangun di awal pagi untuk mengejar bas untuk membeli belah atas limpah rezeki yang datangnya dari Yang Maha Kaya, kita sanggup bangun malam untuk mengejar kapal terbang berjaulah di setiap pelusuk dunia milik Allah SWT, tapi sukar nak bangun memuji2 Dia Yang Maha Esa.

Marilah wahai adik-adik, jadikan munajat ini rutin harian, bukan ketika mana kita berhadapan peperiksaan, berhadapan dengan musibah, berhadapan dengan keinginan memiliki sesuatu. Lakukanlah kerana ketaksuban kita kepada kebesaran Allah SWT. Lakukan kerana kita cintakan Allah yang Maha Agong. Lakukan kerana kita ini hanyalah hamba Allah Azza Wajalla. Lakukannya kerana kita ingin menjadi hambaNya yang bersyukur.

Sungguh banyak nikmat yang Allah SWT berikan buat kita hatta jari-jari yang menekan butang papan kunci dan tetikus ini juga nikmat yang sangat besar, nikmat mata untuk membaca berita dan informasi terkini juga mentelaah ilmu, tekak dan lidah yang masih mampu menikmati rezeki yang di beri Ar-Razak, bibir yang masih boleh digerakkan untuk memberikan sedekah senyuman buat sahabat dan kaum kerabat kita. Subhanallah, maka nikmat Tuhan manakah yang ingin kamu dustakan. Ayuh, adik-adik kuatkan azam, tanamkan tekad untuk menjadi hamba yang sentiasa bersyukur. Bangunlah mengadap Dia di malam-malam hari mu agar, hari siang mu bersinar bak sinar matahari menceriakan alam semesta ini.

Berikut adalah zikir-zikir yang boleh diguna ketika bermunajat dan berzikir hanya kerana Dia yang kita cinta seluruh jiwa kita.


Paparan video di bawah ini ada rakaman zikir munajat dan doa dari Ustaz Dusuki mudahan dapat memberikan sedikit gambaran kaedah bermunajat ketika bertahajjud. Peruntukkanlah sejam untuk bangun mengadap Yang Maha Mendengar, setiap hari. Jika terdetik di hati yang ianya sukar untuk dilakukan, letakkan niat yang suatu hari nanti, insyaAllah aku lakukannya Ya Allah, keranaMu, kerana cintakan Engkau Ya Allah. Setelah hati digerakkan, maka anjakkan dengan berazam untuk melakukannya, mungkin sebulan sekali kemudian, dua kali sebulan, tiga kali sebulan, seminggu sekali, seterusnya sehingga ia menjadi rutin harian kita. Ya Allah berikanlah kami taufik dan hidayahMu. Kami ingin melakukannya keranaMu dan kerana bersyukurnya kami atas nikmatMu yang tak terhitung dik akal kami Ya Allah. Jadikanllah kami hambaMu yang paling bersyukur di kalangan orang yang bersyukur.

Wahai adik-adikku, hayatilah doa yang dibacakan, mudahan Allah SWT menjentik hati kita untuk melakukannya kerana Dia. Selepas selasai berzikir, boleh menadah tangan dengan penuh keikhlasan, mengharapkan belas kasihan Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang. Sememangnya Dia Allah, Maha Mendengar apa yang tidak kita luahkan dan apa yang tidak kita luahkan, apa yang tersirat dan tersimpan di hati dan apa yang dinyatakan di bibir. Mohonlah ampun dari Dia Allah, Yang Maha Pengampuni Dia Allah, Yang Maha Pengampun.

Akhir kalam, dapatlah kiranya merenung sepotong ayat dibawah ini:

وَمِنَ ٱلَّيۡلِ فَتَهَجَّدۡ بِهِۦ نَافِلَةً۬ لَّكَ عَسَىٰٓ أَن يَبۡعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامً۬ا مَّحۡمُودً۬ا

Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajud padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji (Al-Isra', 79).




Salam penuh kasih sayang,
kak sai

0 comments: