Saturday, 28 January 2012

Wahai Mata

بِسۡمِ اللهِ الرَّحۡمٰنِ الرَّحِيۡمِ

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Segala puja-puji itu hanyalah Milik Allah Azzawajalla yang mutlak,
Selawat dan salam buat junjungan Nabi Khalilullah SAW,

Sekadar nukilan rasa yang ingin dikongsi bersama,


Indahnya mata itu yang melihat Al-Quran lalu isinya menyentuh ke dalam hati lalu tetaplah hatinya dengan Islam

Indahnya mata itu yang meninjau keindahan alam lantas meneguhkan hatinya akan kebesaran Allah Azzawajalla

Hebatnya mata itu yang menatap wajah kedua ibubapanya dengan belas kasihan lalu mengagungkan sifat rahmah Allah

Indahnya mata itu yang menatap wajah suami atau isteri dan anaknya dengan kasih sayang lalu terpahat kesyukuran terhadap anugerah Allah

Hebatnya mata itu yang menangis kerana belas kasihannya pada saudara Islam yang ditindas lalu membangkitkan semangat perjuangan Islam yang kental dalam diri pemiliknya

Indahnya mata itu yang menangis kerana takutnya pada Sang Pencipta dan kerana takut yang amalan pemiliknya tidak diterima

Hebatnya mata itu yang tunduk malu dengan linangan airmata kerana malunya pada setiap dosa yang dilakukan pemiliknya

Beruntunglah mata itu, jika pemilik sementaranya menjaga hak-hak matanya itu yang seharusnya kekal di syurga dan di jauhkan dari azab api neraka.
Celakalah mata itu yang tanpa segan silu dan dengan syahwat melihat sesuatu yang bukan haknya malah gembira mengajak yang lain bersamanya

Celakalah mata itu yang curi-curi memandang sesuatu yang bukan haknya malah gembira berkongsi kemaksiatan itu bersama rakannya

Celakalah mata itu yang menangis kerana ketaksuban kepada idola selain Allah Sang Pencipta

Celakalah mata itu memandang keindahan dunia lantas meningkatkan kecintaan pemiliknya kepada dunia yang sementara

Muhasabahlah diri, pada setiap ketika mata digunakan adakah ia digunakan dengan hak kerana pasti pada setiap kali kegunaannya, kita akan ditanya dan dipertanggungjawabkan kerana MATA ini dipinjam Allah atas rahmatNya. Tanyalah pada diri sendiri, adakah mata kita ini layak berada di syurga ataupun di neraka hasil dari setiap pandangan dan kelipan yang telah kita usahakan di dunia ini. Menangislah kerana takutkan azab Allah yang pedih atas perbuatan kita sendiri. Ini hanya satu nikmat dari segala nikmat tidak terbilang Allah SWT kepada kita yang kita akan dipersoalkan di akhirat kelak... Wallahua'lam

salam sayang,

0 comments: