Wednesday, 25 April 2012

Majlis Solat Hajat dan Majlis Ilmu anjuran LUMSS dan HELWA.


Alhamdulillah, pada 22 April yang lalu, LUMSS dan HELWA telah mengadakan Majlis Solat Hajat dan Majlis Ilmu di Female Prayer Room Lancaster University sempena musim peperiksaan yang akan bermula pada 23 April 2012.

Majlis dimulakan dengan Solat Hajat secara berjemaah, dan disambung pula dengan Majlis Ilmu. 

Sedikit perkongsian dari saudari Adila Hadi tentang konsep tawakkal dan redha. 

"....Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. (2) Dan memberinya rezki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan [keperluan] nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan [yang dikehendaki] Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. (3)"
At-Talaq : 2-3

Kak Yus juga telah berkongsi tafsir ayat Al-Hujurat ayat 11,
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”
Semoga kita dapat sama-sama menjaga diri kita agar tidak melakukan ketiga-tiga kesalahan yang disebutkan dalam ayat di atas.

Majlis diakhiri dengan solat Zuhur berjemaah dan jamuan potluck dari warga HELWA.

Sekian. Selamat menghadapi peperiksaan kepada warga Lancaster sekalian..
Ma'at Taufiq Wan Najah!
^_^

Thursday, 19 April 2012

Update aktiviti Helwa 2011/12

assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh
sobahal khair ya akhawat.
salam jumaah.


alhamdulillah sudah hampir dua bulan laman ini membina sarang, penuh berhabuk tidak dijengah si pelaku. walau dua bulan berlalu, masa itu pantas lebih laju meninggalkan kita. "Dia mengatur urusan di langit ke bumi, kemudian (urusan) itu naik kepada-Nya dalam satu hari yang kadarnya adalah seribu tahun menurut perhitunganmu." (as-sajdah : 5) walau kadar kita dirasakan pendek, fikirkan bahwa yang di akhirat kelak sangat panjang.


Patah tumbuh hilang berganti. 

Telah ramai juga warga-warga Helwa yang telah menyusul pulang ke tanah air mendahulukan yang lain. Termasuklah Kak ayu, Kak Haiza, Kak Mazurah, Kak Sai dan juga yang Kak Nazihah. Pemergian mereka pasti terasa terutama sekali bagi mereka yang lebih lama berukhuwah. alhamdulillah sempat juga kami merasakan budi manis daripada kakak-kakak ini. Makin berkurangan ahli Dapur Lancaster. haha.. Tidak lupa juga kepada keluarga Kak Maz yang baru tiba, semakin sengitlah menu-menu yang akan ditayangkan dalam acara-acara akan datang.

p/s : Jutaan terima kasih buat sumbangan ikhlas dari tangan-tangan warga helwa pada setiap kali Majlis Wida' diadakan. alhamdulillah, tabungan Helwa semakin berisi dan mencukupi untuk acara-acara akan datang.


Lau kana bainana. 11 Februari 2012

cukup menjentik hati apabila ditanyakan kepada diri sendiri. apakah cinta buat Kekasih allah ini benar-benar atau hanya dalam selawat semata. sallahu alaihi wasallam. semoga kita dapat istiqamah menunaikan sunnah-sunnah baginda biarpun sekecil tidur mengiring ke kanan atau mencuci tangan sebelum makan. diniatkan sebagai ikutan sunnah, insyaallah ibadah yang berterusan itu diberi ganjaran oleh allah.


Jauhara Jawwaheer 18 Februari 2012

siapa sangka pertama kali diusahakan ke pentas NISE Leeds 2012, wakil nasyeed kita beroleh tempat kedua serta best performance (undian penonton). alhamdulillah, berkat masa dan ikhlas tenaga-tenaga kuat seperti Kak Yana, Kak Lini, Kak Jue dan Kak Dar, bergema bibit-bibit lirik Jawwaheer. Tahniah buat barisan kuat yang dianggotai Nazariyah, Izzati al-Zolmin, Farah Husna, Nadwa Ismail, athirah Mazli, Nisa Masir dan ameera Faseeha.
Muslimah
"Kukuhkan peribadi, 
Contohi serikandi, 
Dengan restu Ilahi, 
Kelak pasti akan diberkati."


Helwa, ajk Dapur.

seperti yang diwar-warkan semasa majlis AGM helwa, penglibatan kita akan lebih berunsurkan kepada penyediaan makanan dan minuman untuk majlis-majlis yang diaturkan baik oleh LUMSS atau KUL. Penjualan karipap semasa One World Week atas permintaan yang agak impromptu. Jualan semasa Lancaster Nusantara Games yang diadakan buat sulong kali yang berlangsung sewaktu dengan Lancaster Uni Campus Festival. Tidak lama lagi, acara tahunan Kecoh 1 Lancaster turut memerlukan Helwa untuk penyediaan main course dan dilengkapkan dengan hidangan-hidangan potluck. Juga dipersetujui, Majlis Sireh Pulang ke Gagang akan diuruskan oleh Helwa. Jasa besar buat Kak Nita khasnya selaku ajk Dapur helwa yang sentiasa berasap dapur mengenyangkan perut-perut warga Lancaster. Sesungguhnya mengenyangkan perut yang lapar itu juga adalah sedekah. 


Sekian sahaja gulungan aktiviti buat kali ini. 
salam alaikum. ma'as salamah. wa ilal liqa.

Yang khilaf itu datang dari saya, dan yang baik itu adalah hikmah-Nya.
wallahu 'alam.



Friday, 24 February 2012

#1 antara niat dan pahala


Dari amirul Mukminin, abu Hafsh, Umar al-Khattab r.a berkata : aku mendengar Rasulullah saw bersabda, ; "Sesungguhnya diterimanya amal perbuatan itu bergantung pada niatnya, dan sesungguhnya setiap orang akan mendapatkan apa yang dia niatkan. Barangsiapa berhijrah kerana Allah dan Rasulnya, maka hijrahnya (akan diterima) sebagai hijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, dan barangsiapa berhijrah kerana dunia yang dia cari atau wanita yang ingin dinikahinya maka dia akan dapat apa yang dia tuju"

Bertepatan dengan al-kisah 3 orang hamba Allah yang boleh dijadikan teladan buat kita semua. 

Hamba yang pertama merupakan seorang imam yang alim dan tetap kuat beribadah. Paginya di masjid beriktikaf, malamnya sibuk dengan amalan-amalan sunat yang lain. namun apabila tiba masa dihisab amalannya, allah memasukkan dia ke neraka. tanya si imam, "Ya allah, mengapa aku dilontarkan ke neraka walhal aku tetap beribadah kepada-Mu siang dan malam?" "tidak, kamu beribadah supaya diperlihatkan oleh orang sebagai orang yang alim lagi salih, bukan kerana Tuhanmu" oleh itu, neraka lah jawapannya.

Hamba yang kedua, seorang jutawan yang kaya raya, namun dia tetap mensedekahkan hartanya ke jalan allah. perkara yang sama berlaku, "mengapakah aku ke neraka padahal aku selalu meninfaqkan harta-hartaku ke jalan-Mu ya allah?" "tidak, kau bersedekah dengan tujuan supaya disebut-sebut oleh orang-orang lain, dan bukanlah kerana allah semata". lalu dilemparkan dia ke neraka.

Hamba yang terakhir, seorang tentera yang kuat berjuang berani menentang para musyrikin. matinya juga di atas medan perang. tetapi dibangkitkan dia hanya untuk ke neraka. apabila ditanya,  rupanya perjuangannya selama ini adalah supaya dikenangkan sebagai seorang pahlawan yang berani berjihad. 

jom perbetulkan niat!

ini kisah 3 orang hamba. Allah al-alim, Dia lebih mengetahui niat sebenar kita. 
tetapkan hati kita. jadikan "lillahi taala" sebagai asas setiap perbuatan kita. 
20 atau 30 tahun kehidupan ini, tanpa ucapan "lillahi taala", sia-sia dan rugilah segala amalan kita. 

jadikanlah ini sebagai teladan. ikhlas adalah rahsia Allah di dalam rahsia. tapi ingatlah, dengan wujudnya ikhlas dalam ibadah, wujudlah rasa manisnya iman. 



"katakanlah, sesungguhnya, Solatku, Ibadahku, Hidupku dan Matiku, hanya kerana Allah sekalian alam." [al-an'am, 162]


*mohon maaf atas segala khilaf dalam setiap perkataan ini.

Saturday, 28 January 2012

Wahai Mata

بِسۡمِ اللهِ الرَّحۡمٰنِ الرَّحِيۡمِ

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Segala puja-puji itu hanyalah Milik Allah Azzawajalla yang mutlak,
Selawat dan salam buat junjungan Nabi Khalilullah SAW,

Sekadar nukilan rasa yang ingin dikongsi bersama,


Indahnya mata itu yang melihat Al-Quran lalu isinya menyentuh ke dalam hati lalu tetaplah hatinya dengan Islam

Indahnya mata itu yang meninjau keindahan alam lantas meneguhkan hatinya akan kebesaran Allah Azzawajalla

Hebatnya mata itu yang menatap wajah kedua ibubapanya dengan belas kasihan lalu mengagungkan sifat rahmah Allah

Indahnya mata itu yang menatap wajah suami atau isteri dan anaknya dengan kasih sayang lalu terpahat kesyukuran terhadap anugerah Allah

Hebatnya mata itu yang menangis kerana belas kasihannya pada saudara Islam yang ditindas lalu membangkitkan semangat perjuangan Islam yang kental dalam diri pemiliknya

Indahnya mata itu yang menangis kerana takutnya pada Sang Pencipta dan kerana takut yang amalan pemiliknya tidak diterima

Hebatnya mata itu yang tunduk malu dengan linangan airmata kerana malunya pada setiap dosa yang dilakukan pemiliknya

Beruntunglah mata itu, jika pemilik sementaranya menjaga hak-hak matanya itu yang seharusnya kekal di syurga dan di jauhkan dari azab api neraka.
Celakalah mata itu yang tanpa segan silu dan dengan syahwat melihat sesuatu yang bukan haknya malah gembira mengajak yang lain bersamanya

Celakalah mata itu yang curi-curi memandang sesuatu yang bukan haknya malah gembira berkongsi kemaksiatan itu bersama rakannya

Celakalah mata itu yang menangis kerana ketaksuban kepada idola selain Allah Sang Pencipta

Celakalah mata itu memandang keindahan dunia lantas meningkatkan kecintaan pemiliknya kepada dunia yang sementara

Muhasabahlah diri, pada setiap ketika mata digunakan adakah ia digunakan dengan hak kerana pasti pada setiap kali kegunaannya, kita akan ditanya dan dipertanggungjawabkan kerana MATA ini dipinjam Allah atas rahmatNya. Tanyalah pada diri sendiri, adakah mata kita ini layak berada di syurga ataupun di neraka hasil dari setiap pandangan dan kelipan yang telah kita usahakan di dunia ini. Menangislah kerana takutkan azab Allah yang pedih atas perbuatan kita sendiri. Ini hanya satu nikmat dari segala nikmat tidak terbilang Allah SWT kepada kita yang kita akan dipersoalkan di akhirat kelak... Wallahua'lam

salam sayang,

Friday, 27 January 2012

Tiada yang kekal kecuali DIA

بِسۡمِ اللهِ الرَّحۡمٰنِ الرَّحِيۡمِ

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Segala puja-puji itu hanyalah Milik Allah Azzawajalla yang mutlak,
Selawat dan salam buat junjungan Nabi Khalilullah SAW,

Salam Jumaat buat adik-adik yang disayangi, semoga hidup kita dinaungi dengan rahmat dan barakahNya di dunia dan akhirat. Coretan hari ini sekadar untuk mengingatkan diri kak sai dan adik-adik semua akan hakikat bahawa diri kita dan apa yang kita miliki pasti suatu hari nanti akan hilang. Keremajaan kita akan beransur berubah kepada kedutan jika Allah mengizinkan kita sampai ke usia tua. Kecantikan pasti sedikit demi sedikit di mamah usia, kecuali dengan bantuan teknologi zaman sekarang yang cuba mengabui mata yang hakikat sebenar seperti yang dijanjikan Allah dalam ayat berikut:

وَمَن نُّعَمِّرۡهُ نُنَڪِّسۡهُ فِى ٱلۡخَلۡقِ‌ۖ أَفَلَا يَعۡقِلُونَ

Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya? (Yaseen, 68)

Yang pastinya, yang kita miliki sekarang kebarangkalian besar, bukan milik kita lagi di masa depan. Letakkan keyakinan kepada yang terus kekal yakni Allah Azzawajala. Rentetan entri bermunajat yang lalu, kak sai ingin ingatkan diri sendiri dan adik-adik yang kak sai sayangi sekalian bahawa, segala hajat dan keinginan yang tertunai dan yang tidak tertunai, pasti hadir dengan hikmah di sebaliknya. Yang tidak tertunai, pasti berhikmahkan kepada kebaikan untuk kita semua di dunia dan akhirat.

Yang kita selalu lupa adalah apabila setiap hajat kita tertunai, subhanallah. Yang jelasnya, setiap mukmin akan mensyukuri kurniaan Allah atas permintaannya yang tertunai. Tetapi percayalah, adik-adik, kesyukuran itu sepatunya hadir dengan rasa takut bahawa kurniaan itu akan datang dengan ujian yang lebih besar. Jika kita gagal ujian yang mendatang itu, maka jadilah kita orang yang rugi.

قُلۡ إِنَّ ٱلۡخَـٰسِرِينَ ٱلَّذِينَ خَسِرُوٓاْ أَنفُسَہُمۡ وَأَهۡلِيہِمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ‌ۗ أَلَا ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡخُسۡرَانُ ٱلۡمُبِينُ

Katakanlah lagi: Sesungguhnya orang-orang yang rugi (dengan sebenar-benarnya) ialah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri dan pengikut-pengikutnya pada hari kiamat (dengan sebab perbuatan mereka memilih kekufuran atau kederhakaan). Ingatlah, yang demikian itulah kerugian yang jelas nyata. (Az-Zumar, 15)

Amalkanlah doa ini, agar kita tergolong dalam golongan orang yang rugi di kemudian hari.

قَالَا رَبَّنَا ظَلَمۡنَآ أَنفُسَنَا وَإِن لَّمۡ تَغۡفِرۡ لَنَا وَتَرۡحَمۡنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡخَـٰسِرِينَ

Mereka berdua merayu: Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi. (Al- A'raf, 23)

Ramai orang kalah dengan ujian nikmat juga dengan ujian kesusahan. Namun kedua-duanya adalah ujian yang jika dihadapi dengan berlandaskan Al-Quran dan Sunnah pasti akan mendekatkan kita kepada Allah SWT. Setiap kali ditimpa ujian nikmat atau kesusahkan, mohonlah doa yang sentiasa kita sebutkan namun adakah ia lahir dari hati yang ikhlas. Oleh yang demikian, mulai hari ini bertekadlah yang setiap kali saya membaca doa ini, sememangnya Ya Allah, kami mohon dengan hati yang tulus ikhlas kerana hanya kepadaMu kami memohon petunjuk.

ٱهۡدِنَا ٱلصِّرَٲطَ ٱلۡمُسۡتَقِيمَ

Tunjukilah kami jalan yang lurus (Al-Fatihah, 6).

Takrifan titi sirat adalah seperti dari hadis berikut:

عن النواس بن سمعان عن رسول الله صلى الله عليه وسلَّم قال ضَرَبَ اللهُ تعلى مَثَلاً صِرَاطاً مُسْتَقِيْمًا ، وَعَلَى جَنْبَتِي الصِّرَاطِ سُوْرَانِ ، فِيْهِمَا أَبْوَابٌ مُفَتَّحَةٌ ، وَعَلَى الأبْوَابِ سُتُوْرٌ مُرْخَاةٌ ، وَعَلَى بَابِ الصِّرَطِ دَاعٍ يَقُوْلُ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ! ادْخُلُوا الصِّرَاطَ جَمِيْعًا وَلاَ تَتَعوَّجُوا ، وَدَاعٍ يَدْعُو مِنْ فَوْقِ الصِّرَاطِ ، فَإِذَا أَرَادَ الإِنْسَانُ أَنْ يَفْتَحَ شَيْئًا مِنْ تِلْكَ الأبْوابِ قَالَ: وَحْيَك لاَ تَفْتَحْهُ ، فَإِنَّكَ إِنْ تَفْتَحْهُ تَلِجْهُ ، فَالصِّرَاطُ الإسْلاَمَ ، وَاسُّوْرَانِ حَدُوْدُ اللهِ تَعَلَى ، والأبْوابُ المفتَّحَةُ محارِمُ الله تعَالى ، وذَلِكَ الدَّاعِي عَلَى رَأْسِ الصِّرَاطِ كِتَابُ اللهِ ، وَالدَّاعِي مِنْ فَوْق وَاعِظُ اللهِ فِي قَلْبِ كُلِّ مُسْلِمٍ
Daripada Nawwas Bin Sam’aan daripada Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) sabdanya: “Allah membuat perumpamaan tentang Shiratal Mustaqim bahwa pada dua sisinya (kiri dan kanan) ada dua pagar, dan pada kedua-dua pagar tersebut terdapat banyak pintu yang sedang terbuka, dan pada tiap-tiap pintu itu pula ada tabir yang menutupinya, dan di atas pintu masuk ke jalan yang lurus itu ada penyeru yang memanggil: Hai sekalian manusia, masuklah kamu semua ke dalam “Jalan Yang Lurus” ini dan janganlah menyimpang (melencong)!, dan ada pula penyeru yang berada daripada atas jalan itu yang jika manusia ingin membuka sedikit tabir penutup pintu itu, lalu ia berkata: Celaka engkau, janganlah engkau buka tabir itu! Sebab jika engkau membukanya niscaya engkau akan terjerumus ke dalamnya. Jalan yang lurus itu adalah Islam dan dua pagar itu ialah batasan-batasan Allah (Hududullah), pintu-pintu yang terbuka itu larangan-larangan Allah dan penyeru yang memanggil dari pintu masuk ke jalan itu ialah Kitabullah (Al-Quran), dan penyeru yang berada di atas jalan itu pula ialah peringatan daripada Allah yang terdapat pada hati setiap muslim”.[Hadis Hasan Sahih Riwayat Imam Ahmad]

Wahai adik-adik yang dirahmati Allah SWT, berselawatlah kepada junjungan kita Nabi SAW, kerana atas usaha jerih payah Baginda dan sahabat, maka nikmat Islam dan Iman menjadi milik kita. Jangan jadikan amalan ini atas ikut-ikutan tapi jadikannya amalan kerana hakikat kecintaan kita kepada Allah SWT dan Baginda Rasulullah SAW.


Salam kasih sayang,





Tuesday, 17 January 2012

Marilah bermunajat wahai adik-adikku

بِسۡمِ اللهِ الرَّحۡمٰنِ الرَّحِيۡمِ

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Segala puja-puji itu hanyalah Milik Allah Azzawajalla yang mutlak,
Selawat dan salam buat junjungan Nabi Khalilullah SAW,

Sudah agak lama menyepi diri, astaghfirullahal 3azim... dilalaikan dengan banyak perkara keduniaan. Alhamdulillah masih diberi ruang untuk mengisi masa adik-adik sekalian dengan sedikit ruang bacaan ini. Hari ini, ini berkongsi zikir munajat dan doa yang boleh digunakan untuk kegunaan seharian kita, ianya agak mudah untuk kegunaan tika bangun sepertiga akhir malam. Wahai adik-adikku sayang, marilah kita jadi golongan kecil yang akan bersusah payah, menggagahkan dan menguatkan diri dengan kekuatan yang diberikan Allah Azzawajalla.

Kita sanggup bangun malam untuk mentelaah ilmu yang juga datangnya dari Yang Maha Berilmu, kita sanggup bangun di awal pagi untuk mengejar bas untuk membeli belah atas limpah rezeki yang datangnya dari Yang Maha Kaya, kita sanggup bangun malam untuk mengejar kapal terbang berjaulah di setiap pelusuk dunia milik Allah SWT, tapi sukar nak bangun memuji2 Dia Yang Maha Esa.

Marilah wahai adik-adik, jadikan munajat ini rutin harian, bukan ketika mana kita berhadapan peperiksaan, berhadapan dengan musibah, berhadapan dengan keinginan memiliki sesuatu. Lakukanlah kerana ketaksuban kita kepada kebesaran Allah SWT. Lakukan kerana kita cintakan Allah yang Maha Agong. Lakukan kerana kita ini hanyalah hamba Allah Azza Wajalla. Lakukannya kerana kita ingin menjadi hambaNya yang bersyukur.

Sungguh banyak nikmat yang Allah SWT berikan buat kita hatta jari-jari yang menekan butang papan kunci dan tetikus ini juga nikmat yang sangat besar, nikmat mata untuk membaca berita dan informasi terkini juga mentelaah ilmu, tekak dan lidah yang masih mampu menikmati rezeki yang di beri Ar-Razak, bibir yang masih boleh digerakkan untuk memberikan sedekah senyuman buat sahabat dan kaum kerabat kita. Subhanallah, maka nikmat Tuhan manakah yang ingin kamu dustakan. Ayuh, adik-adik kuatkan azam, tanamkan tekad untuk menjadi hamba yang sentiasa bersyukur. Bangunlah mengadap Dia di malam-malam hari mu agar, hari siang mu bersinar bak sinar matahari menceriakan alam semesta ini.

Berikut adalah zikir-zikir yang boleh diguna ketika bermunajat dan berzikir hanya kerana Dia yang kita cinta seluruh jiwa kita.


Paparan video di bawah ini ada rakaman zikir munajat dan doa dari Ustaz Dusuki mudahan dapat memberikan sedikit gambaran kaedah bermunajat ketika bertahajjud. Peruntukkanlah sejam untuk bangun mengadap Yang Maha Mendengar, setiap hari. Jika terdetik di hati yang ianya sukar untuk dilakukan, letakkan niat yang suatu hari nanti, insyaAllah aku lakukannya Ya Allah, keranaMu, kerana cintakan Engkau Ya Allah. Setelah hati digerakkan, maka anjakkan dengan berazam untuk melakukannya, mungkin sebulan sekali kemudian, dua kali sebulan, tiga kali sebulan, seminggu sekali, seterusnya sehingga ia menjadi rutin harian kita. Ya Allah berikanlah kami taufik dan hidayahMu. Kami ingin melakukannya keranaMu dan kerana bersyukurnya kami atas nikmatMu yang tak terhitung dik akal kami Ya Allah. Jadikanllah kami hambaMu yang paling bersyukur di kalangan orang yang bersyukur.

Wahai adik-adikku, hayatilah doa yang dibacakan, mudahan Allah SWT menjentik hati kita untuk melakukannya kerana Dia. Selepas selasai berzikir, boleh menadah tangan dengan penuh keikhlasan, mengharapkan belas kasihan Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang. Sememangnya Dia Allah, Maha Mendengar apa yang tidak kita luahkan dan apa yang tidak kita luahkan, apa yang tersirat dan tersimpan di hati dan apa yang dinyatakan di bibir. Mohonlah ampun dari Dia Allah, Yang Maha Pengampuni Dia Allah, Yang Maha Pengampun.

Akhir kalam, dapatlah kiranya merenung sepotong ayat dibawah ini:

وَمِنَ ٱلَّيۡلِ فَتَهَجَّدۡ بِهِۦ نَافِلَةً۬ لَّكَ عَسَىٰٓ أَن يَبۡعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامً۬ا مَّحۡمُودً۬ا

Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajud padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji (Al-Isra', 79).




Salam penuh kasih sayang,
kak sai

Thursday, 24 November 2011

Happy New Year!



Alhamdulillah, pejam celik pejam celik, masa pantas berlari. apakah kita masih merangkak? berjalan sahaja? atau turut berlari setanding masa? Mudah-mudahan kita disibukkan dengan perkara-perkara besar agar tidak terbawa-bawa dengan perkara-perkara kecil. Insya-Allah.

Maal Hijrah (tanggal 1 Muharam) bakal tiba. bermulanya tahun baru kalendar Hijriyyah, 1432H.

Sudah kedengaran pelan-pelan untuk mengimarahkan New Year kita! semoga semuanya berjalan dengan sempurna dan diberkati hendaknya.

Di sini, ingin kami kongsikan Doa pengakhiran dan pembukaan tahun baru. Moga bermanfaat untuk semua.


Kalau menjelang tahun baru, kita boleh memperbaharui azam dan misi. Tak salah kita gunakan kesempatan ini untuk memperbaiki diri, "berhijrah" untuk ke arah yang lebih baik.
Mulakanlah dengan sekecil perubahan, istiqamah, dan dengan izin-Nya, perubahan itu akan kekal dan memberi impak yang besar. Sekecil-kecil amal seperti memulakan pertemuan dengan Salam, bangun pagi dan ucapkan kata syukur, 'hamdallah' atau mendoakan orang lain setelah usai solat?Nampak remeh, tapi inilah yang akan membawa kepada anjakan yang lain. Amiin.