
بِسۡمِ اللهِ الرَّحۡمٰنِ الرَّحِيۡمِ
ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Segala puja-puji itu hanyalah Milik Allah Azzawajalla yang mutlak,
Selawat dan salam buat junjungan Nabi Khalilullah SAW,
Seperti yang dijanjikan sebelum ini, hari ini kak sai akan memanjangkan lagi perjalanan kita ke arah menjadi hamba Allah sebenar-benar hambaNya. Biar kak sai mulakan dengan ayat ini:
أَفَمَن شَرَحَ ٱللَّهُ صَدۡرَهُ ۥ لِلۡإِسۡلَـٰمِ فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍ۬ مِّن رَّبِّهِۦۚ فَوَيۡلٌ۬ لِّلۡقَـٰسِيَةِ قُلُوبُہُم مِّن ذِكۡرِ ٱللَّهِۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ فِى ضَلَـٰلٍ۬ مُّبِينٍ
Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu dia tetap berada dalam cahaya (hidayat petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata (Az-Zumar (39) ayat 22.
Ayat di atas menggambarkan pertanyaan Allah SWT kepada kita ini hambaNya, adakah sama orang yang diberi hidayah yakni cahaya petunjuk Allah SWT dengan orang yang berada dalam kegelapan tanpa hala tuju? Agak-agaknyalah adik-adik, sama tak seorang manusia yang berjalan dalam hutan dengan lampu suluh di malam hari dengan seorang yang lain yang tidak memiliki lampu suluh tersebut? Dapatkah adik-adik bayangkan bagaimana mudah si dia yang berlampu suluh dan betapa susahnya si dia yang tiada memiliki suluhan meniti jalan yang perlu dilalui mereka, Subhanallah.
Begitulah gambaran yang boleh kita bayangkan dalam ayat di atas, Allah SWT kemudiannya memberi ancaman yakni, mereka yang tidak menghiraukan peringatanNya, azabnya nanti tidak tergambar dek akal fikiran kita. Bolehkah adik-adik bayangkan betapa panasnya ketuhar pada suhu 200 darjah Celcius sewaktu kita membakar makanan? Agaknyalah kalaulah terletak tangan kita dalam ketuhar yang panas itu selama beberapa saat, apalah agaknya rasanya ye? Auzubillah.. itu hanyalah sedikit kepanasan dari kepanasan azab api neraka.
Teringat kak sai akan dua ayat Al-Quran:
وَأَمَّا ٱلَّذِينَ فَسَقُواْ فَمَأۡوَٮٰهُمُ ٱلنَّارُۖ كُلَّمَآ أَرَادُوٓاْ أَن يَخۡرُجُواْ مِنۡہَآ أُعِيدُواْ فِيہَا وَقِيلَ لَهُمۡ ذُوقُواْ عَذَابَ ٱلنَّارِ ٱلَّذِى كُنتُم بِهِۦ تُكَذِّبُونَ () وَلَنُذِيقَنَّهُم مِّنَ ٱلۡعَذَابِ ٱلۡأَدۡنَىٰ دُونَ ٱلۡعَذَابِ ٱلۡأَكۡبَرِ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ
Dan sebaliknya orang-orang yang fasik, maka tempat kediaman mereka ialah Neraka; tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari Neraka itu, mereka dikembalikan kepadanya, serta dikatakan kepada mereka: Rasalah azab Neraka yang kamu sentiasa mendustakannya di dunia dahulu. Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit dari azab dunia sebelum azab yang besar (di akhirat kelak), supaya mereka rujuk kembali bertaubat {As-Sajdah; ayat 20-21}.
Tak tertanggung oleh kita wahai adik-adik akan azab Allah SWT itu nanti. Setiap kali ahli neraka cuba keluar darinya, pasti ada malaikat yang akan menarik dan mencampakkan mereka kembali ke dalam lubang neraka tersebut. Dan yang pasti tahap keazaban yang diterima ahli neraka tidak dikurangkan sedikitpun malah bertambah azab dari hari ke hari, auzubillah.
Walaubagaimanapun, usahlah adik-adik bersedih hati, kasih sayang Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang itu luas dan tidak bertepi. Jika diduga kita di dunia ini, bukanlah Dia bencikan kita, malah itulah tanda kasih Allah buat kita kerana Allahu A'lim, maha tahu apa yang akan disediakan buat kita diakhirat kelak. Pastinya Dia Yang Maha Esa mahukan hambaNya memperolehi syurga yang penuh kenikmatan maka diduganya kita di dunia dengan bermacam dugaan. Tabahlah hadapinya wahai adik-adikku sayang.
Takutlah wahai adik-adik akan Allah SWT, akan ancamanNya, akan azab siksaNya, sebenar-benar takut. Allah SWT sebenarnya telah mengajarkan kita agar takut kepadaNya seperti ayat berikut:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam (Ali Imran ayat 102).
Mungkin ada yang berkata, macam pernah dengarlah ayat ini. Ya, adik-adik, inilah ayat yang diulang-ulalng oleh khatib setiap kali khutbah Jumaat dimulakan. Sesungguhnya, Allah SWT tidak menurunkan ayat ini dengan sia-sia. Kak sai mengingatkan diri sendiri dan adik-adik untuk terus berpegang kepada ayat ini sehingga ke akhir hayat. Justeru, sebagai permulaan menjadi hamba Allah SWT, maka mohonlah taufik dan hidayah dariNya seperti yang diajarkan oleh Nabi SAW seperti hadis berikut:
Dari Ibnu Mas'ud radhiallahu'anhu, beliau berkata,
أنَّ النبيَّ - صلى الله عليه وسلم - كَانَ يقول : ( اللَّهُمَّ إنِّي أسْألُكَ الهُدَى ، والتُّقَى ، والعَفَافَ ، والغِنَى)
“Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam biasa membaca do’a: “Allahumma inni as-alukal huda wat tuqo wal ‘afaf wal ghina, {Ya Allah, aku meminta pada-Mu petunjuk, ketakwaan, kesucian dan kepuasan.}”.” (HR. Muslim no. 2721)
Bagaimanalah agaknya rasa diri ini telah mendapat cahaya dari Allah SWT. Ingat adik-adik, cahaya ini jika ia datang, maka janganlah dibiarkan ianya berlalu, genggamlah ia sekuat-kuatnya. Satu dari tandanya adalah, cintanya kita kepada akhirat berbanding cinta kita akan dunia. Jika cinta kita masih kuat ke arah duniawi, maka mohonlah kepada Allah SWT agar diberikan sedikit cahayaNya agar kita memperolehi kenikmatan mencintai akhirat lebih dari cinta kita kepada dunia.
InsyaAllah di entri akan datang kak sai akan panjangkan lagi apakah seterusnya yang perlu dilakukan oleh kita hambaNya apabila kita dapat merasakan taufik dan hidayah itu telah berada dalam genggaman kita. Sehingga di lain waktu, semoga tulisan ini bermanfaat buat adik semua dan selamat beramal dengan doa di atas agar taufik dan hidayah itu menjadi milik kita, ameen Ya Rabb.
Salam penuh kasih sayang dari kak sai,
Ana uhibbukum fillah ya ukhti....